Mungkin Ramai Yang Belum Tahu, Inilah Nilai Sebenar Pingat Emas Sukan Olimpik

London: Berapakah nilai pingat emas Sukan Olimpik?

Emas dalam setiap satu pingat itu hanya bernilai AS$587 (RM2,340) di pasaran sekarang namun yang mahal bagi pemenang pingat berkenaan ialah kebanggaan dan kegemilangan.

Pingat emas seberat 500 gram yang dimenangi Usain Bolt, Michael Phelps dan Simone Biles sebenarnya mengandungi 99 peratus perak kitar semula, hanya ada 1.2 peratus emas yang menyalut pingat berkenaan, bernilai AS$587.

“Ia (pingat) adalah penghormatan dan tanggungjawab yang hebat,” kata Pengarah Kilang Syiling Kebangsaan Brazil di Rio de Janeiro, Victor Hugo Berbert.

Setiap satu daripada 5,130 pingat Olimpik dan Paralimpik mengambil masa 48 jam untuk dihasilkan.

Arca Nike, dewa purba Greece yang bersayap diukir pada muka pingat di bawah logo Olimpik manakala jenis sukan untuk pingat dimenangi diukir di sepanjang tebing. Muka sebelah lagi mempunyai logo Rio 2016.

Sumber: Harian Metro